Mengikut www.blogger.com, perkataan 'post' dalam Bahasa Inggeris diterjemahkan kepada 'catatan'. Ini juga merupakan satu pendedahan yang baru bagi saya. Saya boleh bercatat dalam Bahasa Inggeris dengan begitu senangnya kerana saya sudah fasih dalam bahasa itu. Sudah bertahun-tahun saya telah bercakap dan menulis dalam bahasa itu.
Namun, Bahasa Inggeris bukan bahasa bangsa saya. Saya anak Malaysia dan bahasa bangsa Malaysia adalah Bahasa Melayu.
Setiap kali saya memikirkannya, saya berasa malu kerana saya tidak fasih dalam Bahasa Melayu yang merupakan satu-satunya bahasa di Malaysia yang ada potensi untuk menyatupadukan seluruh populasi di negara tercinta ini. Dengan itu, mula-lah blog ini yang hanya akan dicatat dalam Bahasa Malaysia. Untuk catatan lain saya yang berbahasa Inggeris, sila ikuti pautan di sini.
Dalam catatan pertama saya, saya akan berkongsi sedikit sebanyak pemikiran-pemikiran saya tentang Bahasa Melayu dan bagaimana bahasa boleh dikaitkan dengan konsep perpaduan.
Saya tidak mempunyai banyak maklumat yang jitu tentang Bahasa Melayu. Apa yang saya tahu tentang bahasa ini adalah berasaskan apa yang saya pelajari di sekolah. Bahasa ini memang senang dipelajari, terutamanya kalau seseorang itu sudah tahu menggunakan Bahasa Inggeris. Bahan binaannya adalah sama tetapi peraturan dalam penggunaannya hanya berbeza. Tetapi apa yang saya memang suka apabila bercakap Bahasa Melayu adalah perasaan yang bangkit dari penggunaanya.
Setiap kali saya boleh bercakap dalam Bahasa Melayu, saya berasa reda dan senang, ia membangkitkan perasaan kampung di mana kita tinggal bersama dan kita semua tahu semua orang. Ia membangkitkan perasaan di mana saya boleh mempercayai seseorang itu kerana kita mempunyai identiti yang sama dan mempunyai latar belakang yang sama.
Kadangkala saya berenung tentang konsep bahasa. Apakah tujuan yang kita ada bahasa? Kalau ia setakat untuk berkomunikasi, kita boleh juga gunakan bahasa matematik memandangkan ia begitu tepat. Hehe. Tapi bahasa juga memberi kita keupayaan untuk meluahkan perasaan atau isi hati kita dengan cara yang indah. Dan kita memang akan selalu tertarik kepada keindahan secara semulajadi.
| Copyright © Bahá'í International Community |
Mungkin apa yang saya mahu bentangkan di sini adalah idea di mana bahasa juga boleh dijadikan sebagai satu alat protagonis untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat kita. Apa yang memang menyedihkan adalah perasaan-perasaan prasangka yang mungkin kita ada pada sesuatu bahasa, di mana kita rasa sesuatu bahasa itu adalah kurang penting dari bahasa yang lain.
Saya juga bersetuju dengan prinsip di mana dunia ini memerlukan satu bahasa global supaya kita boleh mencapai perpaduan pada tahap global. Tapi dari mana kita boleh mula berlangkah dalam arah ini? Jelaslah yang kita perlu mula di komuniti tempatan kita, dari situlah yang kita akan belajar bagaimana untuk membina perpaduan.
Kita semua memang tahu yang bukan semua orang tempatan dalam kejiranan kita boleh berbahasa Inggeris. Tetapi semua boleh bercakap Bahasa Melayu.
Selamat berbahas. :)
No comments:
Post a Comment